Monday, April 11, 2011

Semua Binatang Peliharaan Mahu Sekatil Denganku

     Apabila aku terkenangkan peristiwa-peristiwa yang aku lalui bersama binatang-binatang peliharaanku, aku berasa bahawa akulah perempuan yang paling sesuai menjadi ' girlfriend ' tarzan.
     Beberapa bulan yang lalu, hamster aku yang terlepas daripada ' istananya ' telah berhijrah ke bilik aku. Aku yang takut menyentuh hamster membiarkan sahaja dia berada di bilikku kerana semua orang sudah tidur dengan nyenyaknya. Aku menutup pintu bilik kerana risau hamster itu akan ' menjelajah ' ke ruangan lain pula di dalam rumahku. Keesokannya, ketika aku mahu menarik cadar untuk menyelimuti tubuhku, aku terkejut melihat hamsterku ada berhampiranku. Warnanya yang sama dengan cadarku membuatku aku hampir merenyuk dia.
      Beberapa hari lepas pula, Staf Meor menghadiahkan seekor kucing. Staf Meor memang sangat menyayangi kucing. Kucing yang diberi sangat jinak dan suka bermanja. Seiap kali kucing itu menghampiriku, aku akan ketakutan.
     Sudah menjadi tabiatku menguak sedikit pintu bilik ketika mahu tidur sejak diganggu pelbagai jenis jelmaan yang menghempap tubuh dan mencekik leherku suatu ketika dahulu. Bodoh punya jelmaan. Apabila aku tersedar pagi tadi, kelihatan kucingku sudah berada di atas katilku. Aku sendiri hairan, mengapakah semua haiwan peliharaan mahu sekatil denganku? Nasib baiklah aku tidak membela kambing. Silap haribulan, aku sekatil dengan kambing pula.

0 comments: