Monday, April 11, 2011

Siapakah Mengetuk Pintu Rumahku di Waktu Maghrib?

       Aku masih ingat lagi peristiwa beberapa tahun lepas. Ketika itu, kerjaya ayahku sebagai tentera mendapat perhatian banyak pihak sehingga melayakkannya menjawat jawatan sebagai RSM 9 RAMD. Tetapi ada pihak yang cemburu cuba menyantau ayahku. Malangnya, ibuku yang terkena ilmu guna-guna individu yang iri hati tersebut. Akibatnya, adikku bongsuku yng masih kecil sering menangis apabila berada di samping ibuku. Ibuku juga sering sakit.
     Bukan itu sahaja, orang tuaku juga sering bertekak. Hal ini mungkin disebabkan sikap ibuku yang menjadi terlalu panas baran secara tiba-tiba. Aku sangat stres dengan situasi tersebut. Perasaan takut sering menyebulungi hidupku.
     Kalau tidak silap, pada suatu hari, ayah, ibu dan adik bongsuku telah pergi ke pasar malam. Aku dan adik perempuanku tinggal berdua di rumah. Ketika azan Maghrib dilaungkan, pintu rumah diketuk dengan kuat sekali. Melalui kaca tingkap yang jernih berhampiran pintu, aku ternampak bayang-bayang hitam berlari menuju ke rumah sebelah. Aku lekas membuka pintu, lalu memandang ke arah bayang-bayang hitam itu melarikan diri. Tetapi tiada sesiapa yang dapat kulihat. Aku mula berasa tidak sedap hati. Lebih-lebih lagi, aku pasti bahawa aku tidak berkhayal kerana adikku juga mendengar bunyi pintu diketuk sebentar tadi.
     Aku menutup semula pintu dengan perasaan takut. Tiba-tiba, pintu rumah diketuk semula. Aku segera mmbuka pintu. Lega. Rupa-rupanya keluargaku sudah pulang. Aku menceritakan hal tersebut kepada orang tuaku. Mama juga mengesyaki bahawa yang mengetuk pintu rumah kami bukan manusia tetapi makhluk lain.

0 comments: