
Aku membaca kisah penderaan seorang kanak-kanak bernama Syazani pada hari Ahad yang lalu. Kisah penderaannya cukup menghayat hati. Lebih-lebih lagi dia telah didera oleh guru sekolah agama berasramanya sendiri. Siapa menyangka seorang guru yang mengajar di sbeuah sekolah agama sanggup berbuat demikian?
Apakah puncanya didera? Dia didera akibat disyaki melakukan kecurian beberapa kali di sekolah agama tersebut. Walau bagaimanapun, dia tidak mengakui bahawa dia melakukan sebarang kecurian. Akibat terlalu marah, salah seorang guru lelakinya telah mengikatnya dan memukulnya hampir dua jam. Dia koma akibat kejadian tersebut. Betapa kejamnya seorang guru memukul pelajar berusia tujuh tahun seteruk itu. Apalah yang diketahui oleh seorang budak kecil seusia Syazani? Aku juga memiliki seorang adik lelaki berusia tujuh tahun. Tidak dapat aku bayangkan andai adik aku didera sekejam itu sehingga koma.
Hatiku lebih tersentuh, tatkala aku tahu bahawa Syazani kehilangan ibunya ketika berusia dua tahun. Keluarga angkat ayahnya yang menjaganya. Manakala ayah kandungnya mencari rezeki sebagai pemandu pelancong jauh dari sisinya. Kali terakhir ayahnya berjumpa dengannya kira-kira setahun yang lalu. Betapa malangnya anak sekecil itu kerana ketandusan kasih sayang daripada orang tuanya.
Ayahnya turut memberitahu pihak media bahawa rupa anak tunggalnya itu saling tidak tumpah seperti arwah isterinya, iaitu ibu Syazani. Pendek kata, Syazani merupakan salah satu kenangan yang memperingatkan ayahnya terhadap ibu Syazani.
Sepanjang membaca kisah Syazani di Harian Metro, aku sangat berharap dia akan bangun daripada koma. Walau bagaimanapun, ajal itu di tangan Allah. Dia menghadap Ilahi pada hari yang sama kisahnya dipaparkan. Semoga rohnya dcucuri rahmat. Al-Fatihah.
Kita harus tahu, setiap manusia ada keinginan. Andai benar Syazani memenuhi keinginannya dengan mencuri, wajarkah dia diperlakukan sedemikian rupa, walhal dia kanak-kanak yang tidak mengenal apa itu erti dosa dan pahala? Sedangkan perompak bank tidak dijatuhi hukum gantung oleh mahkamah, inikan pula budak kecil berusia tujuh tahun didera sehingga koma untuk kesalahan mencuri barang-barang yang entah berapa nilainya berbanding wang dicuri oleh perompak bank.
Bayangkanlah sendiri, bapanya jauh dari sisinya, ibunya pergi tak kembali ketika dia berusia dua tahun, manakala keluarga angkat ayahnya pula menghantarkan dia ke sekolah agama berasrama. Siapakah yang akan menasihatkannya selain guru-guru di sekolahnya sendiri? Haruskah keluarga angkat ayahnya menjenguknya setiap hari untuk memberi nasihat. Padahal, dia dihantar ke sekolah agama untuk diasuh menjadi manusia yang berhati mulia oleh guru-guru agama yang dibayar gaji oleh pihak kerajaan. Guru agama itu harus beringat bahawa dia bukan disuruh bekerja tanpa gaji.
Aku sendiri bingung dengan sikap guru sekolah Syazani yang terlalu panas baran. Sepatutnya, dia memberi motivasi kepada kanak-kanak kecil itu. Malangnya, dia telah menjadi penyebab kematian anak muridnya sendiri. Semoga dia mendapat hukuman setimpal di atas kelakuannya.



0 comments:
Post a Comment